25.2.09

Words Of Love

"Tok Wan... Angah nak balik. Tunggu Angah balik. Nanti Angah teman Tok Wan dekat hospital ya?"

Itu kiriman pesanan ringkas aku kepada Tok Wan. Berita yang aku terima dari Emak cukup memilukan di kala aku berbaring di katil berehat, hatiku remuk dengan khabar berita dari ibuku.

"Tok Wan sakit tenat." Dia call Emak tadi tapi Emak tak angkat telefon sebab tak perasan masa Emak charge handphone dekat belakang. Mak rasa nak balik Kelantan jumpa Tok Wan sekarang jugak.


Aku menjadi tidak keruan. Terus mengambil keputusan pulang ke Kota Bharu sejurus menerima perkhabaran dari Emak. Sudah lama aku berjanji kepada Tok Wan mahu menziarahinya, namuk kerap-kali aku menangguhkan hajat tersebut.

Sebelum itu Emak menelefonku dengan suara tersekat-sekat, mencari saki-baki kudrat yang ada untuk menyampai khabar tersebut kepadaku. Namun, Emak tidak mampu mencari kekuatan lantas hanya mengirimkan pesanan ringkas kepadaku, memintaku segera pulang ke kampung.

Aku bergegas ke Kuantan dengan hati yang renyuk. Rasa sebak mendominasi dadaku, namun aku sembunyikan di balik senyuman tenang, untuk memotivasikan diri supaya semuanya akan baik-baik sahaja. Namun aku tidak mampu menipu diri sendiri.

Dalam solatku, aku meminta kepada Tuhan:

"Ya Allah... Andai ini ajal Tok Wanku, biarlah dia pergi dengan mudah. Permudahkanlah urusannya ya Allah... Aku cuma memohon kepadamu dengan kehinaan pada diriku ya Allah, berilah aku kesempatan untuk bertemu dengan Tok Wanku ya Allah, sebelum kau mencabut nyawanya. Tunaikanlah permintaanku ya Allah..."


Perjalanan dari Kuantan ke Kota Bharu selama enam jam tidak terasa penatnya. Dalam benak fikiranku, wajah Tok Wan menjelma.

Baru semalam rasanya aku dilahirkan ke dunia dan dia menjagaku untuk beberapa ketika.

Baru semalam rasanya di waktu kecikku, dia ada untukku, menemaniku bermain dan mengasihiku di kala Abah dan Emakku bekerja.

Baru semalam rasanya di hari raya, dia menghulurkan padaku biskut London Almond kesukaanku bertemankan pohonan yang dililit kerlipan lampu berwarna.


Baru semalam rasanya dia memarahiku dengan penuh lembut dan kasih sayang di kala aku terberak dalam seluar dalam perjalanan pulang ke kampung dan menemani membasuh seluar tersebut.

Baru semalam rasanya aku dan sepupuku berhempas-pulas membasuh kereta pak cik dan mak cikku, mengumpul duit membelikan hadiah sempena hari lahirnya

Baru semalam rasanya dia memarahiku kerana lalai dalam mengerjakan solat selepas aku sudah berkhatan.

Baru semalam rasanya dia memujukku menangis selepas dimarahi Abah akibat berkelahi dengan adik perempuanku hanya kerana bas.

Baru semalam rasanya dia mengucup dahiku dan memelukku setiap kali aku berjumpa dengannya.

Baru semalam rasanya aku mencium tangannya meminta izin untuk keluar bersama mak cikku dan dia memuji aku di hadapan rakannya sambil mengatakan aku ini cucunya.

Baru semalam rasanya dia menziarahi keluargaku di kala aku melangkah keluar rumah untuk ke asrama dan dia mengiringi perjalananku dengan doa.

Baru semalam rasanya aku menelefonnya dan bertanyakan khabar sambil mengucapkan rinduku padanya.

Baru semalam rasanya aku berjanji kepadanya aku akan pulang ke Kota Bharu setiap kali cuti semest
er.

Baru semalam rasanya aku nekad untuk tinggal bersamanya di kala aku makan hati dan merajuk dengan tindakan Abah.

Baru semalam rasanya aku nekad untuk meraikan lebaran bersamanya, bukan bersama keluargaku di rumah.

Baru semalam rasanya aku mengakhiri perbualan di telefon dengan ungkapan "I Love You" dan dia juga mengungkapkan "I Love You" kembali kepadaku.

Air mataku berderai, namun aku sembunyikan di balik gelap malam hingga tiba di Kota Bharu Subuh hari. Tiba di rumah Tok Wan, hati aku kembali remuk mengenangkan saat-saat indah bersama arwah tatkala melihat pokok yang ditanam, rumput yang tumbuh satu masa dahulu aku bersihkan selepas dipotong bersamanya, bekas reban itik yang satu masa dahulu menjadi suatu ketakutan kepadaku dan seringkali aku bersembunyi di belakangnya. Dan hatiku menjadi remuk saat melangkah ke dalam rumah, mengenang kembali semua peristiwa aku bersamanya sambil merenung gambar-gambar arwah bersama keluarganya.

Dua jam setibanya aku di Kota Bharu, mak cikku memaklumkan Tok Wan nazak dan meminta kami bergegas ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. Dalam perjalanan, aku mengirim pesanan ringkas kepada teman-teman, mohon diberi kekuatan untuk menghadapi ujian besar daripada Tuhan. Dalam kereta juga, pak cikku berpesan supaya kami tabah dan redha dengan ketentuan yang telahpun tertulis di Loh Mahfuz oleh Yang Maha Mencipta.

Tibanya di HUSM, kami bergegas ke wad untuk mendapatkan Tok Wan. Setibanya di wad, Tok Wan terbaring di atas katil. Keadaannya memilikukan aku, mendapatinya cekung dan kurus, menderita kesakitan setelah kesekian lamanya berperang dengan kesakitan tersebut. Hati aku berderai melihat doktor mencuba sedaya mampu untuk menyelamatkan arwah. Mak cikku memberitahu arwah mengadu sukar bernafas dan kemudian mak cikku segera mendapatkan doktor. Aku merendahkan egoku sebagai seorang lelaki, mendapatkan Emak lalu memeluknya, mohon diberikan kekuatan untuk mendoakan arwah dengan deraian air mata membasahi mimpi. Aku menangis melihat Tok Wan yang kaku di katil, cuba diselamatkan doktor. Dalam diam, di hatiku, aku kembali berdoa kepada Tuhan:

"Ya Allah, andai ini takdirnya ya Allah, biarlah Tok Wan pergi dengan tenang. Permudahkanlah urusannya ya Allah..."

Kemudian, mak cikku meminta aku berbisik di telinga Tok Wan, mengajarnya mengucap. Aku menjadi kaku, aku tidak tahu samada aku berdaya melakukan yang sedemikian atau tidak. Aku sejujurnya tidak mahu dia pergi namun aku harus merelakan dan aku harus redha akan ketentuan Illahi. Aku kemudian dengan esakkan merapatkan tubuhku ke tubuh Tok Wan mengusap ubannya dan mencium dahinya, dan dengan kesyahduan, aku mengajarnya melafazkan syahadah.

"Laillahaillallah..." Lafazku dengan sebak yang bergelumang di dada.

"Laillahaillallah..."

"Laillahaillallah..." Sambungku dengan peringatkan daripada mak cikku untuk tidak menumpahkan air mata ke muka Tok Wan.


Aku meneruskan kalimah syahadah hingga ke pengakhiran, disambut dengan bacaan Yasin oleh mak cikku dan Emak hingga doktor mengesahkan Tok Wan sudah tiada, menyahut seruan Illahi dan meninggalkan kami ke alam barzakh.

Aku meneruskan kalimah syahadah hingga Emak menarikku dari katil dan memelukku erat. Aku redha dengan ketentuan Illahi dan bersyukur Allah menunaikan doaku, berkemungkinan arwah meninggal di pangkuanku dan aku sempat bertemu arwah dan membisikkan cintaku padanya buat terakhir kali.

Usai urusan peralihan jenazah dilakukan di HUSM, arwah ditempatkan di rumah untuk dimandikan dan dikapankan. Aku mula melihat pak cik, mak cik dan sepupuku tiba di pintu rumah dan mendapatkan arwah. Hatiku kembali sayu, namun aku sudah tiada air mata untuk ditangiskan. Usai solat Asar, jenazah dibawa ke suatu tempat yang aku sudah lupa akan namanya untuk disemadikan. Sebelum berangkat, kami sekeluarga mendapatkan arwah untuk menciumnya buat kali terakhir dan aku menuliskan kalimah agung nama Yang Maha Mencipta pada dahinya usai kucupan pada dahinya. Perjalanan kami ke perkuburan di sambut dengan hujan renyai, seolah bersedih atas kematian Tok Wan.

Di perkuburan, Abang Fadhil, Abang dan aku bersama pak cikku memindahkan arwah ke liang lahad. Aku cuba untuk menangis, namun pada saat itu, air mataku telah kering. Kemudian, kami mengembus tanah dengan penuh hormat kepada jenazah dan mendoakan kesejahteraan arwah di barzakh. Arwah disemadikan berdekatan dengan kubur Tok Abid, almarhum suaminya yang meninggal pada tahun 1985. Usai talkin, kami menziarahi pusara Tok Abid dan tatkala aku merenung jauh ke kubur Tok Wan, aku melihat kelibat Tok Wan dan Tok Abid seperti yang aku lihat di foto pemberian Emak, memerhatikan kami dengan wajah tenang dan senyuman yang mendamaikan, seolah memberi isyarat mereka berdua bahagia, walau aku tahu itu hanya iluminasiku sahaja.

Malamnya kami adakan tahlil untuk Tok Wan dan Tok Abidku selama tiga hari tiga malam. Dan keesokkan harinya, aku merenung ke foto album simpanan Tok Wan, dan aku tenung gambar-gambar kecilku bersamanya. Hatiku kembali pilu, namun aku cuba untuk senyum, memikirkan saat gembira aku bersamanya. Dan aku bertekad untuk menunaikan janjiku, pulang ke Kota Bharu tiap kali cuti semester jika diizinkan oleh-Nya dan direstui oleh Abah dan Emakku, seperti yang pernah aku janjikan pada Tok Wan.

"Tok Wan... Angah nak balik. Tunggu Angah balik. Nanti Angah jenguk Tok Wan ya?"

Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Wan Wok binti Wan Awang yang kembali ke rahmatullah pada 11 Mac 2008 bersamaan 3 Rejab 1429 Hijrah. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

8 comments:

Atiqahtuty said...

byk2kn bersabar

Anonymous said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...

Fiq faham..sangat faham..cuma kesannya tidak sedalam Amir, sbb Tok Wan adalah dr keluarga sendiri.. Fiq kehilangan sahabat yang Fiq senangi.. Masih mampu tersenyum, biasa dengan kawan2, tapi dalam hati, jika terleka seketika, pasti Fiq ingat arwah.. Fiq masih x percaya.. rasa mcm sukar sangat..

Bila Fiq baca entry ni, Fiq teringatkan opah di kampung.. Dah tua sangat, rindu pada Opah.. Fiq takut x berkesempatan bertemu, mohon ampun, peluk Opah.. (dah lama terfikirkan tentang Opah, cuma masih x tertunai) Tapi Fiq jauh.. Fiq akan cuba untuk pulang ke kampung bila cuti seminggu atau lebih.. Fiq nak habiskan banyak masa bersama Opah.. Saban hari, nampak Opah makin tak berdaya.... Makin terserlah kedut tuanya.. Fiq risau..Khuatir.. Fiq xnak masa tu tiba.........Tak mahu!

Mr Final said...

Maaf lambat mengetahui perkhabaran berita, Alfatihah untuk Tok Wan Amir...

Takziah kepada Amir dan keluarga semoga tabah dihari2 mendatang

miss said...

Tabahkan hati.

{syaz}{wani} said...

abg amir....seyes ke ni???
lea xde g tau pon...
pape pon takziah...

EdUE said...

amir~

Anonymous said...

takziah !