12.2.12

Dari Kuala Lumpur ke Manchester


Lama saya merenung monitor komputer riba untuk mengarang ayat yang saya rasakan terbaik. Saya akhirnya sedar bait kata-kata yang terbaik datang daripada hati yang ikhlas menulis, maka ternukil kata-kata ikhlas dari hati buta saya.


Mak tak belajar hingga ke universiti, hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia tahun 1980an dengan kelayakan yang cukup beserta dengan sijil menaip (tak silap saya) untuk memulakan kerjaya sebagai kerani di ibu kota. Mak berhijrah tika itu dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur, saya kira kali pertama Mak berjauhan dari keluarga. Tak pernah saya tanya perit getir Mak waktu itu memulakan cabaran hidup di tempat menjadi lubuk emas kepada kebanyakkan perantau seperti Mak. Tak pernah saya tanya gajinya berapa, belanjanya bagaimana. Melihat ekonomi negara waktu itu yang tak semewah sekarang, pasti banyak cabaran yang terpaksa Mak tempuh tinggal di tempat orang.


Mak orangnya berahsia. Jarang saya dengar Mak meluahkan perasaan kepada orang. Mak bijak menyimpan rahsia dan bermain kata-kata. Pernah dulu saya selongkar diari lama Mak, bertalu kata-kata indah terukir dalam nota ringkas nukilan Mak. Irama yang indah dari bait kata-kata yang ditulis dengan tulisan berungkai cantik Mak masih tergambar di mata. Tiap kali usai ujian Bahasa Melayu ketika sekolah rendah, Mak yang akan saya serahkan kertas ujian untuk disemak. Mak tahu berbahasa dan mengajarkan kami adik-beradik berbahasa. Mak juga mahir berbahasa Inggeris walaupun Mak tak dibesarkan untuk betah dengan bahasa itu. Satu lagi cabaran Mak yang tak pernah saya tanya.


Kebanyakkan yang bertandang ke rumah tak mungkin lupa keenakan air tangan Mak. Wanita ini cukup arif memasak. Koleksi resepi yang tersemat di bawah kulit kepalanya begitu banyak. Namun sayang, saya sendiri tak pernah menghargai bakat Mak yang satu itu. Air tangan Mak yang saya tak mungkin lupa daging goreng yang pasti dihidang bersama nasi panas, belacan dan ulam-ulaman. Saya cukup rindu pada hidangan yang satu itu, dan hingga hari ini saya masih tak dapat meniru masakan Mak. Masakan saya dan Mak, ibarat langit dan bumi, jauh panggang dari api.


Kekuatan Mak tiada tandingan. Melahirkan tujuh zuriat, menguruskan rumah tangga dan hal ehwal dalaman rumah, saya sering musykil dari mana Mak mendapatkan tenaga untuk menguruskan kesemua hal dalam satu hari sedangkan saya tak pernah mempunyai waktu yang cukup untuk melaksanakan banyak hal. Kesabaran Mak melayani kerenah 7 lelaki di rumah adalah satu perkara yang saya ambil begitu mudah. Tak pernah saya bayangkan kompleksiti Mak terpaksa harungi setiap hari dalam kehidupannya, sewaktu awal bergelar isteri dan ibu. Kecekalan Mak mengharungi pahit maung hidup, berdepan dengan onak ranjau yang datang dari segenap sudut, tak pernah saya hargai. Malah, Mak diklasifikasi dengan pelbagai cacian dan maki hamun oleh orang-orang yang dekat dengan kami. Namun, Mak kekal berdiri meneruskan tanggungjawab meski untuk seorang wanita, hati Mak pasti lumat mendengar caci maki orang.


Terlalu banyak pengorbanan Mak kepada saya. Hingga saat saya berlepas ke UK, Mak masih berkorban untuk saya. Perjalanan ke KLIA, saya tahan air yang bergenang di kelopak mata. Tangan saya memegang tangan Mak erat. Saya fikir mana mungkin saya membalas jasa wanita yang satu ini. Terlalu banyak hutang saya padanya. Saat susah dibebani pelbagai kusut hati, Mak masih tersenyum dan yakin ada jalan penyelesaian untuk tiap masalah yang menyusuri. Itulah Mak. Buruk mana tanggapan orang pada Mak, tak pernah yang tahu rasa yang Mak pendam, derita yang Mak simpan, sengsara yang Mak pegang. Mak tak mahu beritahu orang. Orang lupa mulia hati Mak. Orang lupa luhur budi Mak. Pada orang, Mak bagaikan beban. Pada saya, Mak adalah nyawa, punca energi saya. Pada Mak, tersimpan kekuatan saya.


Sekeping ijazah hanyalah bukti kelulusan akademik namun berharga buat saya, kerana itulah saja hadiah saya pada Mak. Atas setiap apa yang telah Mak korbankan untuk saya. Untuk segala apa yang Mak curahkan pada saya, itulah yang dapat saya balas. Saya bangga dengan Mak, walau tak pernah Mak jejak menara gading, Mak mampu besarkan anak-anak hingga ke universiti. Sayang saya tak dapat sarungkan Mak jubah berwarna turquoise bersama mortar board di majlis konvokesyen. Namun satu hari nanti akan saya pakaikan mak jubah dan mortar board, tanda graduasi Mak membesarkan anak-anak hingga berjaya.


Tahniah dan terima kasih Mak.


7.1.12

Mencari Kasih Sayang Tuhan

Berfirman Tuhan kepada manusia

8 baris ayat meruntuh jiwa.


Kosong hati kala lewat malam berjaga

masih mencari pengisi menutup lara.

Apa jua masih belum bertemu angkara

Helai² kertas bersih tiada tulis apa.


Aku mencari makna firman Tuhan kepada manusia

tentang 8 baris ayat meruntuh jiwa.


Layar telefon pintar diselak ke bawah

menyentuh aplikasi iKitab mencari jawapan fikiran serakah.

Namun bisik hati kecil amarah

"Ahhhhhh! Untuk apa mencari makna firman Tuhan

Biar saja menanti jawapan ilmuan."


Kembali menyambung lelah di malam kosong

Seperti malam sebelumnya, hati buta itu diusung.

Benak akal yang dahagakan logik akal

Pada ilmu dunia yang senantiasa disangkal.

Jauh dalam jasad masih meronta

Mahu tahu pada kekosongan yang nyata.


iKitab Tuhan itu dibuka kembali

mencari makna dalam firman yang hakiki.

Nyata, Tuhan itu Maha Mengetahui

Bait² ayat paling indah terencana dalam kitab paling suci.


When the earth is shaken with her (violent) shaking.

And the earth brings forth her burdens.

And man says: What has befallen her?

On the day she shall tell her news.

Because your Lord had inspired her.

On that day men shall come forth in sundry bodies that they may be shown their works.

So he who has done an atom's weight of good shall see it.

And he who has done an atom's weight of evil shall see it.

(Al-Zalzala, verse 1-8)


Berfirman Tuhan kepada manusia

8 baris ayat meruntuh jiwa.

Memberkas jasad seorang hamba

Kosong hati tatkala di lewat malam berjaga

Mahu kembali pada yang mencipta.


Aku menulis kerana mencari kasih sayang Tuhan.

Manchester, 7 Januari 2012, 0622.


20.9.10

Balasan Kompilasi


Kau gila
tanpa berita dari aku.

Kau kata
cinta itu
tentang ketawa
dan air mata.

Kau sedih
bila aku sedih.

Kau akan terus tunggu
aku hadir
bila orang kata
kau bodoh dan sempit.

Sepi dan sendiri
kau benci.

Kau semalam
bahagia bersama aku.
Tapi aku pergi
hari kau kembali hujan.

Kau pari-pari kecil
akhirnya hilang sayap.
Kau jatuh ke bumi
rebah.

Kau
terhimpit
tersesak
terseksa
kerana rindu.

Kau perlukan aku
dalam hidup kamu.
Dan aku buta
akan itu.

Aku hanyalah binatang buas
mainkan hati dan perasaan kau.
Kerana mengalpai kau
bodohnya aku.

Aku tulis membalas kompilasi entri-entri lama Diliana.
Sengal Ubi, 20 September 2010.

10.9.10

Balasan: Pari-Pari Kecil


Terdengar suara membentak
Menidakkan perasaan di hati
Terdorong kakiku melangkah ke hadapan
Mengintai suara itu.

Terlihat olehku
Dia yang berwajahkan Adam
Suaranya besar
Hatinya batu
Sayang, nalurinya tak mampu dilentur lagi.

Satu suara lembut kedengaran
Dia yang juga berwajahkan Adam
Namun cahayanya berbeza
Terang dan tenang
Tersenyum walau dalam gundah.

Dia kuperhatikan
Berbezakah dia dengan Adam pertama
Mungkinkah segalanya sekadar lakonan
Mengumpan hati Hawaku.

Aku, Si Pari-pari kecil yang kehilangan sayap
Masih mahu terbang
Walau mungkin tidak tinggi
Akan kugagahi sayap yang satu.

Persetankan suara yang mengganggu
Telah ku lontar jauh suara garau itu
Andai ada suara yang menyapa
Yang mampu menerbitkan rasa tenang di jiwa
Tanganku terbuka luas menyambutnya
Namun, tak sekali curiga itu kutinggalkan.

Bukan aku tulis tapi Diliana tulis, 9 September 2010.
Selamat Hari Raya.

8.9.10

Pari-Pari Kecil


Pari-pari kecil itu
menangis lagi.

Bisik hati kecilnya
celaka, dunia ini.
Antara dua sayapnya
satu sudah tiada.
Diberi pada sang bulan
berhati syaitan
berperi binatang.

Sangkanya mahu menjadi
semulia Adam
memberi rusuk kiri pada Hawa.
Mungkin sayap yang satu
boleh menyatu
pari-pari kecil itu
dan sang bulan.

Oh, pari-pari kecil itu
terbodoh juga oleh cinta.

Pari-pari kecil itu
Tidak terbang lagi.
Berjalan ia atas bumi
dengan satu sayap di tubuh
menanti Tuhan
untuk memberi sayap satu lagi.

Mungkin pari-pari kecil itu
kekal sedemikian.
Mungkin pari-pari kecil itu
terus berjalan
tanpa sayap yang satu lagi.

Sang bulan terbang meninggi
Dan pari-pari kecil itu
tersadai di bumi.
Memerhati ia pada sang bulan.

Suatu penyesalan
yang amat dasyat
pari-pari kecil itu
merasai.

Pari-pari kecil itu
menangis lagi.

Aku tulis membalas entri Diliana "Si Pari-Pari Kecil", 8 September 2010.


Balasan: Komplikasi


Kau hadiahkan pelangi
bila aku rasa
ingin pergi dari kamu.

Sungguh.

Aku tak tahu
apa patut kubicara.

Kalau kau tak suka aku
kenapa berlari ke arahku?

Itu soalku.
Dengan tanda tanya.

Celakanya!

Komplikasi ini menyesakkan.

Bukan aku tulis tapi Diliana tulis, 7 September 2010.

4.9.10

Komplikasi


Kau bunuh jiwa
bila aku rasa
aku suka kamu.

Sumpah.

Aku tak tahu
apa mahu rasa.

Kalau aku suka pada kau
apa kau ada rasa pada aku?

Soalan sampah.
Titik noktah.


Damn!

Emosi ini komplikasi bukan?

Aku tulis kerana ini bukan cerita aku, 4 September 2010.

By the way, aku seorang yang mentally retarded. Boleh lihat bukti di bawah.

video

3.9.10

Raya Wish 2010


video
Take 1

video
Take 2

White Flag


video
Take 1

video
Take 2


video
Take 3

1.9.10

Pembunuh Bisu


Kau bunuh aku,
dalam diam.

Aku mencari
erti kewujudan kau
dan aku buntu.

Apa kau datang
Sebagai suatu mimpi
atau kau hadir
di luar benak
khayalan aku.

Sumpah,
aku buntu.

Hiruk pikuk mimpi,
aku terjaga
tapi kau tiada
lalu aku tidur semula.

Dan kau
berdiri di depan
dua tangan kau
terikat belakang.
Sebelati pisau
Kau gertap di bibir.
Kau bersedia
membunuh aku.

Aku lihat
kau senyum.
Sumpah kau cantik.

Kau lontar belati pisau
mengena tepat jantung aku.
Darah merah tepercik keluar
dari lubang yang mengena.
Aku tidak buat apa-apa.

Untuk segala dosa
aku lakukan
sewaktu cinta
kita ratah bersama.
Aku rela.

Hingga terpacul darah terakhir
kau tidak berkata apa.
Kau memaling aku dan pergi
aku tinggal sendiri.

Kau bunuh aku,
dalam diam.

Aku tulis kerana terjaga, 1 September 2010