8.9.10

Pari-Pari Kecil


Pari-pari kecil itu
menangis lagi.

Bisik hati kecilnya
celaka, dunia ini.
Antara dua sayapnya
satu sudah tiada.
Diberi pada sang bulan
berhati syaitan
berperi binatang.

Sangkanya mahu menjadi
semulia Adam
memberi rusuk kiri pada Hawa.
Mungkin sayap yang satu
boleh menyatu
pari-pari kecil itu
dan sang bulan.

Oh, pari-pari kecil itu
terbodoh juga oleh cinta.

Pari-pari kecil itu
Tidak terbang lagi.
Berjalan ia atas bumi
dengan satu sayap di tubuh
menanti Tuhan
untuk memberi sayap satu lagi.

Mungkin pari-pari kecil itu
kekal sedemikian.
Mungkin pari-pari kecil itu
terus berjalan
tanpa sayap yang satu lagi.

Sang bulan terbang meninggi
Dan pari-pari kecil itu
tersadai di bumi.
Memerhati ia pada sang bulan.

Suatu penyesalan
yang amat dasyat
pari-pari kecil itu
merasai.

Pari-pari kecil itu
menangis lagi.

Aku tulis membalas entri Diliana "Si Pari-Pari Kecil", 8 September 2010.


2 comments:

DiLiaNa said...

Terdengar suara membentak
Menidakkan perasaan di hati
Terdorong kakiku melangkah ke hadapan
Mengintai suara itu

Terlihat olehku
Dia yang berwajahkan Adam
Suaranya besar
Hatinya batu
Sayang, nalurinya tak mampu dilentur lagi

Satu suara lembut kedengaran
Dia yang juga berwajahkan Adam
Namun cahayanya berbeza
Terang dan tenang
Tersenyum walau dalam gundah

Dia kuperhatikan
Berbezakah dia dengan Adam pertama
Mungkinkah segalanya sekadar lakonan
Mengumpan hati Hawaku

Aku, Si Pari-pari kecil yang kehilangan sayap
Masih mahu terbang
Walau mungkin tidak tinggi
Akan kugagahi sayap yang satu

Persetankan suara yang mengganggu
Telah ku lontar jauh suara garau itu
Andai ada suara yang menyapa
Yang mampu menerbitkan rasa tenang di jiwa
Tanganku terbuka luas menyambutnya
Namun, tak sekali curiga itu kutinggalkan.

miss said...

2 puisi yang indah.