19.12.08

Histeria

Saya akan meringkaskan penulisan saya terus kepada perkara-perkara yang khusus. Saya harap saya mampu melakukan perkara sedemikian/

Hari ini saya berkesempatan menonton filem terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. yang baru sahaja menemui penonton di pawagam pada hari ini, 18 Disember 2008. Dengan judul Histeria arahan pengarah yang pernah menempa nama melalui The Beautiful Washing Machine, James Lee, saya memilih untuk menonton di TGV The Mines.

Ketika saya melayari Cinema Online untuk menempah tiket tayangan, saya terbaca komentar yang diberikan oleh pengkritik filem. Agak mengecewakan komentar yang diberi berbanding komentar yang diberi oleh penerbit, pengarah, pelakon dan krew produksi filem tersebut semasa program Di Sebalik Tabir... Histeria di TV3 sehari sebelumnya. Namun, tanpa mahu memperdulikan kritikan, saya mengajak adik perempuan saya, yang juga penggemar filem genre seram untuk menonton bersama.

Setelah menyelesaikan pembelian tiket di kaunter TGV The Mines (memandangkan transaksi atas talian tidak dapat dilakukan) saya terus membayangkan jalan cerita filem tersebut berdasarkan trailer yang ditayangkan di televisyen untuk meningkatkan lagi keterujaan saya menonton filem tersebut. Melihat kepada definisi literal judul filem tersebut,histeria adalah sejenis penyakit urat saraf yang terlihat kepada letusan-letusan emosi yang tidak dapat dikawal dan kegembiraan atau ketakutan yang tidak dapat dikawal (berdasarkan Kamus Dewan).

Jam 5.30 petang, pintu panggung dibuka dan penilaian peribadi saya terhadap filem tersebut bermula. Selama hampir satu setengah jam perjalanan filem tersebut hingga ke skrol kredit filem, saya kira ini adalah satu filem yang memuaskan. Kelainan yang cuba dibawa berbading filem Malaysia, khususnya filem berbahasa Melayu yang lain jelas kelihatan.

Kredit boleh diberikan kepada sinematografi filem ini kerana pengarahan fotografi lebih memberat kepada sinematografi filem bebas ataupun "indipendent filem" yang buat masa ini digemari oleh penonton filem.

Namun kebanyakkan masa, filem ini disunting di tempat yang gelap seperti di hospital, di asrama, di perpustakaan dan di makmal. Mungkin ini satu teknik sinematografi yang cuba diterapkan oleh pengarah, namun sebagai pembikin filem, ada perkara logik akal yang harus kita fikirkan walaupun dalam penghasilan genre filem seram. Ada perkara di atas yang saya rumuskan begini: hospital gelap mungkin kerana itu adalah hospital untuk orang berpenyakit mental, kawasan sekolah gelap pada waktu malam mungkin kerana tiada pengawal keselamatan yang memasang lampu ataupun sekolah tersebut sudah lama tidak menyelenggara kemudahan elektrik asas.

Secara logiknya tidak kira di mana-mana sekolah berasrama perempuan, keselamatan pelajar adalah perkara yang paling dititikberatkan. Dengan kehadiran warden lelaki bujang yang tinggal berhampiran dan warden perempuan yang berstatuskan Ustazah membiarkan pelajar perempuan tinggal di asrama dengan kehadiran warden lelaki dek kerana mempunyai urusan peribadi memaksa beliau untuk meninggalkan asrama. Dan sekolah yang tidak langsung mempunyai pengawal keselamatan walaupun mempunyai asrama juga antara kekurangan kajian untuk filem ini. Yang paling menghairankan saya, lokasi sekolah tersebut tidak pernah disebut sepanjang filem ditayangkan, maka saya membuat andaian sekolah tersebut berada di Kuala Lumpur memandangkan sosial pelajarnya yang liar, walaupun berlaku kejadian dan mereka tekad untuk lari, namun tiada seorang yang berjaya melepasi pagar sekolah, membuatkan saya terfikir adakah sekolah ini tidak mempunyai pagar?

Dan jika sekolah ini tidak mempunyai pengawal keselamatan, mengapa semasa Riz dan Lentoq datang untuk mengambil Allissa keluar pada waktu malam tidak menggunakan sahaja pintu pagar depan kerana sudah terang-terangan tiada siapa yang menjaga dan mengapa perlu menggunakan pagar belakang yang menghala ke arah hutan yang jalan masuknya tidak berturap? Dan jika adanya pagar belakang yang lokasinya menghadap ke hutan dengan jelasnya bertujuan untuk menghalang orang dalam keluar ke kawasan hutan ataupun orang luar masuk menceroboh ke kawasan sekolah, pasti adanya pagar dawai yang turut menghalang perkara tersebut sepanjang kawasan sekolah yang menghadap ke hutan. Yang menghairankan, bagaimana pagar tersebut wujud sedangkan pagar dawai tidak langsung kelihatan di dalam filem? Dan mustahil pihak sekolah tidak sedar akan perkara tersebut sedangkan jalan ke hutan melalui sekolah tersebut adalah rata, bukannya berbukit.

Dan dalam filem tersebut, makmal dan asrama adalah kawasan lama, yang sudah tidak digunakan. Namun, tidak terlihat keadaan terbiar di kedua-dua lokasi terbabit dan kelihatan terurus, seolah-olah kerap digunakan. Peralatan makmal yang tersusun tanpa habuk yang ketara menafikan keadaan terbiar kawasan tersebut. Begitu juga asrama yang didiami kelihatan kemas dan tidak terlalu berhabuk sedangkan menurut skrip, kawasan tersebut adalah kawasan lama. Dan jika sekolah tersebut ialah sekolah berasrama, tentu makanan disediakan di dewan makan. Namun sepanjang filem ini, lokasi tersebut dinafikan seolah-olah memberi gambaran kepada penonton pelajar-pelajar di sekolah ini terpaksa menyediakan makanan sendiri kerana sekolah ini tidak mempunyai dewan makan untuk menyediakan makanan. Sesuatu yang sangat tidak relevan kepada kewujudan sekolah berasrama. Ini juga kajian yang perlu ditelusi dalam pembikinan filem supaya setiap penerangan mengenai set dijelmakan dengan tepat di dalam filem.

Masih lagi bertumpu kepada lokasi pengambaran filem ini, memandangkan ini adalah sekolah berasrama dan berdasarkan kewujudan internet yang ditonjolkan oleh filem ini (dengan menggunakan browser Mozilla Firefox yang masih baru pada perkiraan saya) kewujudan telefon awam di sekolah ini amatlah terhad (hanya satu ataupun dua yang ditunjukkan) sedangkan kebiasaanya di sekolah berasrama, kemuduhan tersebut diwujudkan dalam kuantiti yang banyak. Dan panggilan yang digunakan melalui telefon awam tersebut dibuat dengan menggunakan kemudahan I-Talk bukannya melalui wang syiling, tidak mengapa, boleh diterima. Namun melihat kepada jenis telefon awam yang digunakan (model Telekom berwarna kuning dan perak) sepanjang saya menggunakan kemudahan tersebut, tidak tahu pula saya telefon tersebut boleh digunakan secara I-Talk. Untuk mendial ke talian 600 sahaja sudah dibatalkan, apatah lagi untuk menghubungi talian 1800). Setahu saya, hanya telefon awam model Telekom berwarna biru sahaja yang boleh digunakan melalui kad, tidak tahu pula saya model yang satu lagi turut mempunyai fungsi yang sama sedangkan sudah terang telefon awam tersebut beroperasi menggunakan syiling.

Baiklah. Saya kira sudah panjang benar komentar yang saya lakukan terhadap fizikal filem ini. Berbalik kepada janji saya untuk menulis terus kepada perkara-perkara yang khusus, maka saya simpulkan beberapa perkara yang saya kira, tidak logik di mata saya. Saya akan cuba menyampaikan berdasar kepada kronologi perjalanan filem.

1. Pihak sekolah mengenakan hukuman tahanan dalam sekolah selama tiga hari sebaik sahaja cuti semester bermula dan pelajar tersebut dikehendaki tinggal di bangunan asrama lama dan membersihkan kawasan tersebut dan kawasan sekolah sepanjang tahanan mereka.
Saya kira kebanyakkan sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor mempunyai panduan hukuman tatatertib disiplin pelajar dan hukuman tersebut tidak wujud dalam panduan tersebut. Dan untuk membicarakan kes tatatertib pelajar juga memakan masa yang lama, namun sekolah ini mampu melakukan dalam jangka masa yang singkat dengan perbincangan seorang pengetua bersama tiga orang guru disiplin. Mungkinkah sekolah tersebut mempunyai panduan sendiri dalam menjatuhkan hukuman kepada pelajar?

2. Pihak sekolah mampu untuk mengupah tukang kebun untuk menjaga lanskap sekolah tetapi tidak mempu untuk mengupah pengawal keselamatan untuk menjaga keselamatan sekolah.
Mungkinkah tukang kebun adalah pengawal keselamatan separuh masa?

3. Pelajar menyalin nota subjek Pengajian Am menggunakan pensil kayu dan subjek tersebut masih lagi diajar pada hari-hari terakhir persekolahan pada semester tersebut walaupun sudah tamat peperiksaan.
Saya sendiri tidak tahu masih ada pelajar yang mahu menyalin nota menggunakan pensil kayu, bukannya pensil mekanikal ataupun pen walaupun sudah berada di tingkatan enam. Dan mungkinkah sekolah tersebut terlalu mementingkan masa dan mahu menghabiskan silibus dalam tempoh yang singkat sedangkan telah telah tamat peperiksaan dan hampir cuti semester? Saya kira kebanyakkan sekolah bantuan kerajaan tidak begitu. Dan guru masih menulis nota di papan putih untuk disalin pelajar walaupun mereka di tingkatan enam dan boleh berdikari dalam membuat nota sendiri?

Ada lagi perkara yang tidak diterima oleh logik akal saya namun ada sesetengahnya telah saya sentuh sebelumnya. Saya memandang ini sebagai perkara yang klise dalam pembikinan filem dan drama Melayu jika filem mahupun drama tersebut membabitkan alam persekolahan. Mungkin kerana pembikin-pembikin filem sudah lama meninggalkan alam persekolahan dan tidak membuat kajian kembali bagaimana perjalanan alam persekolahan itu sebelum menulis skrip ataupun alam persekolah yang dilalui oleh pembikin filem ini tidak sama seperti yang dilalui oleh kebanyakkan penonton.

Walau bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada Liyana Jasmey atas lakonan yang memberansangkan. Histeria banyak diterjemahkan oleh beliau, menggambarkan emosi beliau yang tidak terkawal dan perasaan takut yang menguasai beliau sepanjang filem ini. Namun perlu lebih banyak kajian harus dilakukan terhadap sifat histeria yang dialami oleh pelajar-pelajar di asrama terutamanya perempuan. Ada masanya Liyana dapat menghayati pembawakkan tersebut, ada kalanya pembawakkan tersebut hilang. Liyana juga harus membezakan situasi dirasuk dan situasi histeria, kerana pada saya, kedua-duanya adalah perkara yang berbeza. Tapi tidak mengapa. Lakonan anda masih memberansangkan. Saya mengharapkan anda dengan watak yang berbeza daripada Histeria, Puaka Niang Rapik, Kami The Movie dan Kami untuk filem-filem dan drama-drana yang akan datang.

Tahniah buat James Lee kerana saya sangat menyukai teknik sinematografi anda dan teknik pengarahan anda. Cuma bahagian perjalanan cerita perlu diperkemaskan lagi. Berhati-hati dengan perkara-perkara yang remeh-temeh dalam pembikinan filem Melayu kerana perkara-perkara seperti ini jarang diperdulikan oleh penggiat filem namun persoalannya mampu menampakkan kecacatan dalam pembikinan sesuatu filem.

Secara keseluruhan, saya melabelkan Histeria sebagai filem tiga bintang. Dan tiada apa yang terlalu histeria mengenai filem ini. Teringat saya kepada kata-kata Suhaimi Baba: "Judul adalah penilaian awal sesuatu filem". Dan wajar untuk saya masih bersikap skeptikal kepada filem-filem Melayu.

9 comments:

Dyat said...

Saya adalah sangat tidak meminati filem seram, bunuh-bunuh atau yang sama waktu dengannya.

Bukan takut ya! Tapi tak minat.

Suka lagi tengok jenis macam Madagascar 2 atau Opt Season 2. Dah tengok? Sangat best tak tipu!

Sengal Ubi said...

Salam Bro Dayat.

Madagascar 2 belum lagi berkesempatan untuk ditonton. Membaca komentar di internet, The Earth Stood Still sangat menarik.

Dyat said...

Wsalam.

Keanu Reeves.
Filem-filem yang dibintangi sebelumnya kurang dapat saya hadam.

Saya bukan penonton filem sci-fic/futuristik yang baik.

Sharing is caring. said...

assalamualaikum..
the earth stood still.. mesejnya jelas dan efeknya melampau.. tapi, the spheres agak membosankan sebab nampak macam cahaya ja sepanjang masa.. overall, i give 8/10. should watch.

Mr Final said...

x tgk lagi.. tp bile kate tentang perjalanan cerita... pasti nyer merujuk kepada skrip. itu sy setuju mesia mmg kurang org berbakat utk mmbuat naratif yg baik..

defactohokage said...

hahaha...judul memangt satu bentuk penilaian awal..emm..nak buat macm mana...selalunya apa yang kita harfapkan tidak menjadi kenyataan..

buat amir sengal..hahah!!..memangla, krew produksi diaorang kata filem diaorang bagus..yang penting..alami dulu kendian nikmati..hhehehe

by-muhammad izzuddin bin mohd rosli

Sengal Ubi said...

Din, alami dulu kemudian nikmati. Boleh buat usul debat. Kau dengan aku satu pasukan lawan tajuk ni.

Sengal Ubi said...

Abang Fify, setuju dengan pendapat anda!

germany_fan said...

wahhh..hebat ko komen pasal makmal...ko mesti pembantu makmal..kehekhekheheh...ape2 pon pengarah hampir berjaya membawa penonton merasai cite2 hantu asrama...sbg budak SBP ako terasa cuak sket2 sbb toilet ngan dorm mmg hmpr sama mcm yg pernah dilalui..itu komen ako..hehe