12.2.12

Dari Kuala Lumpur ke Manchester


Lama saya merenung monitor komputer riba untuk mengarang ayat yang saya rasakan terbaik. Saya akhirnya sedar bait kata-kata yang terbaik datang daripada hati yang ikhlas menulis, maka ternukil kata-kata ikhlas dari hati buta saya.


Mak tak belajar hingga ke universiti, hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia tahun 1980an dengan kelayakan yang cukup beserta dengan sijil menaip (tak silap saya) untuk memulakan kerjaya sebagai kerani di ibu kota. Mak berhijrah tika itu dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur, saya kira kali pertama Mak berjauhan dari keluarga. Tak pernah saya tanya perit getir Mak waktu itu memulakan cabaran hidup di tempat menjadi lubuk emas kepada kebanyakkan perantau seperti Mak. Tak pernah saya tanya gajinya berapa, belanjanya bagaimana. Melihat ekonomi negara waktu itu yang tak semewah sekarang, pasti banyak cabaran yang terpaksa Mak tempuh tinggal di tempat orang.


Mak orangnya berahsia. Jarang saya dengar Mak meluahkan perasaan kepada orang. Mak bijak menyimpan rahsia dan bermain kata-kata. Pernah dulu saya selongkar diari lama Mak, bertalu kata-kata indah terukir dalam nota ringkas nukilan Mak. Irama yang indah dari bait kata-kata yang ditulis dengan tulisan berungkai cantik Mak masih tergambar di mata. Tiap kali usai ujian Bahasa Melayu ketika sekolah rendah, Mak yang akan saya serahkan kertas ujian untuk disemak. Mak tahu berbahasa dan mengajarkan kami adik-beradik berbahasa. Mak juga mahir berbahasa Inggeris walaupun Mak tak dibesarkan untuk betah dengan bahasa itu. Satu lagi cabaran Mak yang tak pernah saya tanya.


Kebanyakkan yang bertandang ke rumah tak mungkin lupa keenakan air tangan Mak. Wanita ini cukup arif memasak. Koleksi resepi yang tersemat di bawah kulit kepalanya begitu banyak. Namun sayang, saya sendiri tak pernah menghargai bakat Mak yang satu itu. Air tangan Mak yang saya tak mungkin lupa daging goreng yang pasti dihidang bersama nasi panas, belacan dan ulam-ulaman. Saya cukup rindu pada hidangan yang satu itu, dan hingga hari ini saya masih tak dapat meniru masakan Mak. Masakan saya dan Mak, ibarat langit dan bumi, jauh panggang dari api.


Kekuatan Mak tiada tandingan. Melahirkan tujuh zuriat, menguruskan rumah tangga dan hal ehwal dalaman rumah, saya sering musykil dari mana Mak mendapatkan tenaga untuk menguruskan kesemua hal dalam satu hari sedangkan saya tak pernah mempunyai waktu yang cukup untuk melaksanakan banyak hal. Kesabaran Mak melayani kerenah 7 lelaki di rumah adalah satu perkara yang saya ambil begitu mudah. Tak pernah saya bayangkan kompleksiti Mak terpaksa harungi setiap hari dalam kehidupannya, sewaktu awal bergelar isteri dan ibu. Kecekalan Mak mengharungi pahit maung hidup, berdepan dengan onak ranjau yang datang dari segenap sudut, tak pernah saya hargai. Malah, Mak diklasifikasi dengan pelbagai cacian dan maki hamun oleh orang-orang yang dekat dengan kami. Namun, Mak kekal berdiri meneruskan tanggungjawab meski untuk seorang wanita, hati Mak pasti lumat mendengar caci maki orang.


Terlalu banyak pengorbanan Mak kepada saya. Hingga saat saya berlepas ke UK, Mak masih berkorban untuk saya. Perjalanan ke KLIA, saya tahan air yang bergenang di kelopak mata. Tangan saya memegang tangan Mak erat. Saya fikir mana mungkin saya membalas jasa wanita yang satu ini. Terlalu banyak hutang saya padanya. Saat susah dibebani pelbagai kusut hati, Mak masih tersenyum dan yakin ada jalan penyelesaian untuk tiap masalah yang menyusuri. Itulah Mak. Buruk mana tanggapan orang pada Mak, tak pernah yang tahu rasa yang Mak pendam, derita yang Mak simpan, sengsara yang Mak pegang. Mak tak mahu beritahu orang. Orang lupa mulia hati Mak. Orang lupa luhur budi Mak. Pada orang, Mak bagaikan beban. Pada saya, Mak adalah nyawa, punca energi saya. Pada Mak, tersimpan kekuatan saya.


Sekeping ijazah hanyalah bukti kelulusan akademik namun berharga buat saya, kerana itulah saja hadiah saya pada Mak. Atas setiap apa yang telah Mak korbankan untuk saya. Untuk segala apa yang Mak curahkan pada saya, itulah yang dapat saya balas. Saya bangga dengan Mak, walau tak pernah Mak jejak menara gading, Mak mampu besarkan anak-anak hingga ke universiti. Sayang saya tak dapat sarungkan Mak jubah berwarna turquoise bersama mortar board di majlis konvokesyen. Namun satu hari nanti akan saya pakaikan mak jubah dan mortar board, tanda graduasi Mak membesarkan anak-anak hingga berjaya.


Tahniah dan terima kasih Mak.


No comments: